Friday, December 28, 2007

Pengetua Baru SMKBBB

Selamat Datang Pn Paridah, Pengetua Baru SMK Bandar Baru Bangi.
Tak lupa jua Pn Zubedah, selamat bersara.

Thursday, July 26, 2007

ilyas dan mohd nor dengan basmo dan hadiah


KEJAYAAN PELAJAR SMK BBB MENCIPTA BASIKAL BERENJIN

KEJAYAAN PELAJAR SMK BBB MENCIPTA BASIKAL BERENJIN

BASMO (Basikal Motor) (R)

Bangi 13 Julai 2007. Kemahiran merekacipta sesuatu yang berguna kepada masyarakat amatlah dibanggakan. Tambahan lagi perekanya daripada pelajar sekolah yang hanya memiliki kemahiran asas khususnya dalam bidang yang biasanya orang dewasa perlu menghadiri kursus selama beberapa tahun untuk memilikinya.

Tetapi itulah yang dimiliki oleh pelajar SMK Bandar Baru Bangi (SMKBBB) yang telah mencipta Basikal berenjin yang diberi nama Basikal Motor (BASMO). Pelajar tersebut Ahmad Ilyas Bin Abdul Jamil (5Damai) bersama Mohd Noor Bin Azizan (5 Cekal) telah mengharumkan nama SMKBBB dengan menyertai Pertandingan Rekacipta Budding Geniuses anjuran Petronas Research Sdn Bhn dan mendapat tempat Pertama dalam pertandingan tersebut yang telah diadakan pada 13 Julai 2007. Kejayaan ini telah membolehkan mereka menggondol hadiah bernilai RM750 daripada Petronas.

Ahmad Ilyas dan Mohd Noor dengan BASMO, hadiah dan sijil penghargaan daripada Petronas Research.

Basikal Bermotor (BASMO) ini dicipta menggunakan hampir 100% bahan kitar semula/terbuang yang dikumpul dan dicipta menjadi sebuah basikal yang lengkap berenjin. Bahan asasnya adalah sebuah basikal biasa dan enjin mesin rumput. Bahan lain yang ditambah seperti gear S basikal racing, tin penyembur cat (untuk dibuat ekzos), besi katil (salur Ekzos), pelapik beg sekolah (penyandar belakang) beserta dengan penyerap hentak hadapan basikal (untuk keselesaan) dan lain-lain bahagian yang diperbuat sendiri dari kepingan besi terbuang. Sesuatu yang istimewa dengan ciptaan ini adalah ianya di welding sendiri oleh pelajar tersebut.

Pelajar ini juga telah mencipta 4 basikal semenjak tingkatan 2 namun beliau begitu berpuashati dengan ciptaannya yang keempat kerana ianya berfungsi seperti sebuah motosikal berkuasa kuda 50 C.C. Basikal Motor ini lebih ringan, tidak perlukan lesen untuk pemanduan, mempunyai ciri-ciri keselamatan, sesuai untuk pelajar kesekolah dan dari segi kos, ianya amat murah berbanding motorsikal sebenar.

SMKBBB amat berbangga dengan pencapaian pelajar tersebut dan semoga beliau terus mencipta dan meneruskan minatnya untuk kejayaannya dimasa hadapan. Tahniah.

web sekolah lestari SMKBBB

http://lestaribangi.blogspot.com

Link ke laman web sekolah lestari dan kelab bumi hijau smkbbb. Click ke alamat diatas.

Tuesday, July 17, 2007

Tahniah, Ilyas dan SMKBBB

Pada 13 Julai 2007 baru-baru ini, SMK bandar Baru bangi telah memasuki pertandingan rekacipta sempena hari terbuka Petronas Research di Bangi. Sekolah telah menghantar satu pasukan dengan rekaan basikal bermotor (BASMO) yang diwakili oleh Ahmad Ilyas dan Mohd Nor.

Keputusannya, SMKBBB dengan rekaan BASMO tersebut telah menjadi Johan dan mendapat hadiah dan cenderamata daripada Petronas. Juri professional terdiri daripada Jurutera Petronas telah mengadili pertandingan ini.

Monday, July 2, 2007

Buletin PIBG

PERSATUAN IBU BAPA & GURU SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN BANDAR BARU BANGI

BILANGAN 1/2007 MAC 2007
Pentingnya PIBG Dalam Usaha Kemajuan Pendidikan Anak-Anak Di Sekolah
Mesyuarat Agong PIBG kali ke-23 telah diadakan pada 4 Mac 2006 (Sabtu) di Dewan SMK Bandar Baru Bangi (SMKBBB). Mesyuarat Agong yang bermula pada pukul 8.30 pagi telah dirasmikan oleh Yang Berusaha En. Mokhtar bin Hani, Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat.
Kehadiran Ibu bapa pelajar bagi mesyuarat kali ini kurang memuaskan. Masalah ini menyebabkan segala maklumat yang hendak disampaikan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa tidak kesampaian dan masalah pelajar tidak dapat diselesaikan. Semoga Mesyuarat Agong PIBG pada tahun 2007 akan mendapat kerjasama daripada semua ibu bapa dan diharapkan agar mereka turut membantu dalam meningkatkan pencapaian pelajar dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Perbincangan di antara guru-guru dan ibu bapa dapat menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka di sekolah. Tahniah kepada barisan AJK yang telah dilantik bagi sesi 2006/07.

Yang DiPertua PIBG : Prof. Dr.Yahya b. Mat Hassan AJK Ibu Bapa :
Naib Yang DiPertua : Dr. Mohd Maaruf b. Mohsin 1) En. Akhma b. Ismail
Setiusaha Kehormat : En. Shamsudin b. Anang 2) Pn. Wan Siti Mariyam bt. Wan Omar
Naib Setiausaha : Pn. Zarulhana bt. Zulkifli 3) Tn. Hj Yaakob b. Mat Noor
Bendahari Kehormat : Pn. Siti Zainab bt. Bahari 4) En. Mokhtar b. Hani
5) Dr. Jalila bt. Abu
6) En. Zulkarnain b. Mohd Kassim

AJK Guru :
1) Pn. Hjh. Hasnah bt. Ibrahim
2) Pn. Siti Zaliha bt. Tumiri
3) Pn. Khalijah bt. Ahmad
4) Pn. Normah bt. Busu Rerah
5) Pn. Mazyon bt. Abd. Rahim
6) Pn. Suraya bt. Harun

Pemeriksa Kira-Kira
1) Tn. Syed Abd Rahman b Syed Abd Rani
2) Pn. Letchummy a/p Mumusamy
BULETIN



























Barisan AJK PIBG Sesi 2006/07

Program Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) 2006
Program ini telah dilancarkan pada 27 Januari 2005 di SMK Bandar Baru Bangi oleh YB Dato’ Sri Adenan Hj Satem, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan YB Dato’ Sri Hishamuddin Tun Hussin, Menteri Pelajaran Malaysia. Jabatan Alam Sekitar telah memperkenalkan program SLAAS bertujuan untuk mewujudkan sekolah yang membudayakan pendidikan alam sekitar dengan menerapkan nilai-nilai murni alam sekitar seterusnya membentuk persekitaran sekolah yang menitikberatkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dari pelbagai aspek iaitu pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan.
Penglibatan seluruh warga sekolah dalam aktiviti SLAAS memberi peluang kepada mereka untuk mengamal, menghayati dan membudayakan ciri-ciri mesra alam di persekitaran sekolah, rumah, komuniti setempat, masyarakat dan akhirnya peringkat negara. Antara program yang dijalankan ialah melaksanakan program amalan kebersihan, kesihatan dan penjagaan alam sekitar. Melalui aktiviti kokurikulum, pelajar dengan inisiatif dan daya kreatif mewujudkan sudut alam sekitar di dalam dan di luar bilik darjah.
SMKBBB telah menyertai program tersebut dan berjaya menerima Sijil SLAAS (Peringkat negeri) dan geran bernilai RM2000. Tujuan geran diberikan adalah untuk membantu pihak sekolah mrneruskan dan menambahbaikan projek alam sekitar yang sedia ada. Semoga seluruh warga sekolah dapat menikmati keindahan, kebersihan dan ketenangan di sekolah yang penuh dengan lanskap yang menarik setelah penat seharian mengikuti kelas dan aktiviti kokurikulum di sekolah. Malah, keindahan permandangan di SMKBBB turut menghiasi majalah Anjung Seri keluaran Mac 2007.




































Sidang Pengarang :
Pn. Khalijah bt. Ahmad
Pn. Mazyon bt. Abd. Rahim
Pn. Raja Noor Azma bt. Raja Ahmad
Usahasama Guru, Pelajar dan Ibu Bapa Hasilkan Kejayaan!

















Majlis Anugerah Kecemerlangan SMKBBB telah diadakan pada 8 April 2006 di Dewan SMK Bandar Baru Bangi (SMKBBB). Tujuan majlis tersebut diadakan untuk meraikan pelajar-pelajar yang telah berjaya dengan cemerlang dalam keputusan Peperiksaan Akhir Tahun 2005 dan pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2005.
Kumpulan Koir SMKBBB
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tuan Hj. Mohamad Roslan b. Sakiman, Pegawai Daerah Hulu Langat. Turut hadir ialah Pn.Hjh. Tipah bt. Hassan, Pegawai Pelajaran Daerah, Prof. Dr. Yahya b. Mat Hassan, Yang DiPertua PIBG SMKBBB, pihak pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa serta pelajar-pelajar yang menerima anugerah kecemerlangan. Pelajar cemerlang telah menerima hadiah dan sijil pengghargaan. Majlis telah berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 12.00tengahari. Majlis diserikan dengan persembahan koir dan nasyid sekolah.

Ibu Bapa Prihatin, Anak Cemerlang, itulah Tema Hari Akademik SMKBBB yang telah diadakan pada 24 Jun 2006 di Dewan SMKBBB dan kelas-kelas dari jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengahri. Ia mensasarkan semua pelajar tingkatan 1 hingga 5. Kehadiran ibu bapa pelajar masih ditahap kurang memuaskan dengan jumlah kehadiran keseluruhan ialah sebanyak 59.44% .
Secara keseluruhannya ibu bapa yang datang banyak berbincang tentang keputusan prestasi pelajaran anak-anak mereka dan melahirkan kebimbangan bagi keputusan yang kurang cemerlang. Keprihatinan mereka harus mendapat kepujian, ia menyebabkan anak-anak terasa lebih dihargai dan mendapat perhatian yang sewajarnya daripada ibu bapa mereka. Berbagai cadangan yang diterima daripada ibu bapa demi kemajuan anak-anak mereka.
Guru-guru sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar dengan membuat pelbagai program seperti kelas tambahan, teknik menjawab soalan, ceramah motivasi serta agama, solat hajat serta bacaan Yaasin dan lain-lain lagi dengan mengambil kira perkembangan setiap orang pelajar. Semoga kerjasama yang diberikan oleh ibu bapa dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh guru-guru di sekolah untuk mempertingkatkan prestasi pelajar. Hari Akademik Kedua turut diadakan bagi pelajar Tingkatan 3 dan 5 berdasarkan keputusan percubaan PMR dan SPM pada 18 Ogos 2006 dan 29 September 2006.
Pelajar dan guru bekerjasama menjayakan Hari Kantin SMKBBB















Tn. Hj. Mohamad Roslan b. Sakiman ( tengah) serta
Pn. Hjh. Tipah bt. Hassan (dua dari kiri) bersama Pengetua dan AJK PIBG.































Hari Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum, Hari Penghayatan Bulan Kemerdekaan & Hari Kantin

7.30 pagi : Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Yahya b. Mat Hassan, Yang DiPertua PIBG SMKBBB. Beliau telah sudi menyampaikan hadiah dan sijil kepada para pelajar yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam kokurikulum pada peringkat sekolah, daerah dan negeri. Semasa menyampaikan ucapan perasmian, beliau turut menasihatkan dan menggalakkan para pelajar agar aktif di dalam kokurikulum seiring dengan pencapaian akademik, memandangkan ia akan diambil kira semasa memohon untuk dinilai dan memasuki mana-mana Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Tahniah diucapkan kepada pelajar yang telah berjaya.

10.30 pagi : Hari Penghayatan Bulan Kemerdekaan telah diadakan bertujuan untuk menyambut kemerdekaan dan memberikan kesedaran tentang pentingnya erti kemerdekaan. Selain perutusan kemerdekaan yang dibacakan oleh guru-guru, pelajar turut membuat persembahan seperti mendeklamasi sajak, pentomen, teater dan nyanyian lagu patriotik oleh semua guru dan pelajar sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

12.00 tengahari : PIBG telah menganjurkan Hari Kantin di sekolah bertujuan untuk mengumpul dana. Para pelajar dan guru serta PIBG bekerjasama menjual berbagai-bagai jenis makanan seperti nasi lemak, nasi tomato, kuih-muih, minuman dan lain-lain lagi.

PIBG sentiasa mengharapkan bantuan daripada semua pihak termasuk individu, yang sudi memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk agar dapat kita jalankan aktiviti yang lebih banyak demi untuk kepentingan sekolah umumnya dan pelajar khasnya. Harapan semua agar SMKBBB akan sentiasa mencapai kecemerlangan dalam segala bidang.

LAWATAN KE FAKULTI PERUBATAN VETERINAR (FPV) UPM
Pada 15 November 2006, Persatuan Sains Kelab Sumber Sains telah menganjurkan satu lawatan sambil belajar ke Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia, dengan kerjasama Dr. Jalila Abu, pensyarah Fakulti Perubatan Veterinar UPM yang juga salah seorang AJK PIBG. Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar sekolah tentang kursus yang ditawarkan oleh Fakulti Perubatan Veterinar UPM, seterusnya kerjaya sebagai seorang pegawai perubatan veterinar atau lebih dikenali sebagai doktor haiwan. Di samping itu, ia dapat mengisi masa lapang pelajar selepas peperiksaan akhir tahun.
Seramai 38 orang pelajar Tingkatan 2 yang diiringi oleh 3 orang guru Sains, Pn. Rofiah bt. Nordin, Pn. Norlida bt. Hamzah dan Pn. Zarulhana bt. Zulkifli ke UPM. Rombongan kami telah disambut oleh Dr. Jalila dan dua orang pembantunya. Kami dipertontonkan dengan video tentang UPM dan fakulti di sebuah dewan mesyuarat. Selepas itu kami dipecahkan kepada 3 kumpulan dan dibawa melawat kawasan sekitar fakulti. Antaranya ialah bilik pembedahan haiwan, bilik bedah siasat haiwan, hospital veterinar UPM, bilik pameran, makmal bakteriologi, makmal serangga dan makmal patologi. Di makmal patologi, sampel dari haiwan seperti darah dianalisis untuk membantu mengkaji punca penyakit haiwan. Penerangan ringkas diberikan oleh pegawai atau pensyarah di setiap bahagian yang kami kunjungi. Kami juga berpeluang melihat sendiri bagaimana doktor haiwan memeriksa dan merawat haiwan yang dibawa ke klinik haiwan UPM.
Kami sangat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr. Jalila khasnya, pembantu-pembantunya dan pensyarah dan pegawai Fakulti Perubatan Veterinar yang telah sudi menerima rombongan kami, melayan dan memberi penerangan kepada kami. Pengalaman ini sedikit sebanyak dapat memberi input yang berguna kepada pelajar yang berminat dalam bidang perubatan khasnya veterinar.




Lawatan
sambil belajar ke
Fakulti Perubatan
Veterinar, UPM.

PERKHEMAHAN UNIT BERUNIFORM
Seramai 40 orang dari Pertubuhan Puteri Islam Malaysia dan 40 orang Kadet Bomba & Penyelamat Malaysia dari SMKBBB telah mengikuti Kem Perkhemahan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Kubu Bharu pada 16,17 dan 18 Jun 2006. Perkhemahan ini adalah anjuran bersama PIBG di bawah kelolaan Tn. Hj. Zulkarnain b. Mohd Kassim (AJK PIBG). Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada beliau yang telah menyediakan pengangkutan dan penginapan percuma. Warga SMKBBB yang telah menyertai program ini merasa gembira dan berpuas hati dengan aktiviti yang telah dijalankan.






























Peserta tekun mendengar taklimat.
Majulah Sukan Untuk Sekolah & Negara
2 Mac 2006 (Khamis), bertempat di Kompleks Sukan PKNS, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi telah berlangsung Temasya Olahraga yang dirasmikan oleh Tn. Ir. Hj. Mustapha Mustaal b. Abdullah, Yang DiPertua PIBG sesi 2005/06. Acara yang dipertandingkan pada hari tersebut ialah larian akhir, 4x 100 jemputan dan tarik tali terbuka. Syabas diucapkan kepada peserta yang berjaya dan kepada yang tidak berjaya, cuba lagi dan teruskan semangat kesukanan anda. Johan keseluruhan Kejohanan Olahraga SMKBBB 2006 ialah Rumah Wira dengan 1097 mata, Rumah Saga 1004 mata, Rumah Satria 961 mata dan Rumah Perdana dengan 914 mata. Olahragawan disandang oleh Mohd. Shahrul Mustaqim b. Nordin (Wira) dan Olahragawati ialah Nur Sakinah bt. Nordin (Satria)
























































Celik Jawi dan Al-Quran
Kelas pemulihan Jawi dan Al-Quran di bawah kelolaan Tn Hj Yaacob bin Mat Noor (AJK PIBG) telah diadakan di surau SMKBBB bermula pada 14 Ogos 2006 hingga 27 September 2006. Kelas ini diadakan secara percuma untuk pelajar-pelajar sesi petang. Matlamat kelas ini diwujudkan adalah untuk membolehkan pelajar-pelajar yang lemah dalam bacaan jawi dan Al-Quran agar dapat meningkatkan bacaan mereka di samping dapat bersaing dengan pelajar-pelajar lain. Kelas ini telah dijalankan pada waktu akhir persekolahan pada setiap hari kecuali hari Jumaat iaitu pada pukul 5.40 hingga 6.40 petang, diambil waktu Pendidikan Jasmani & Kesihatan. Perjalanan kelas ini dipantau oleh guru-guru Pendidikan Islam mengikut giliran. Berdasarkan kepada analisa, kehadiran pelajar ke kelas ini adalah kurang memuaskan. Terima kasih kepada Tn Hj Yaacob yang telah berusaha membantu pelajar-pelajar tersebut.

JASA DAN BAKTIMU TETAP KAMI HARGAI
“Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan”
Demi menghargai jasa dan bakti para guru SMKBBB, Badan pengawas dan Kelab Guru & Kakitangan SMKBBB telah ditugaskan untuk mengendalikan acara Sambutan Hari Guru peringkat sekolah yang telah diadakan pada 26 Mei 2006. Sambutan bermula pada jam 8.00 pagi dengan acara tele-match. Sebanyak 6 acara telah dipertandingkan seperti lumba jalan ikat kaki berpasangan, belon air, aku kaya, isi air dalam botol, muzikal chair dan getah berstraw. Semua acara melibatkan guru-guru dan murid-murid serta kakitangan SMKBBB.
Pada jam 10.00 pagi, para guru diarak dengan bunga manggar oleh pelajar-pelajar dari tapak perhimpunan menuju ke dewan untuk meraikan Sambutan Hari Guru dan meraikan persaraan Pn. Nahuda bt. Abdul Latif. Para guru telah diberi hadiah cenderahati oleh barisan para pengawas dan pelajar. Acara dimulakan dengan nyanyian koir ‘Lagu Guru Malaysia’ oleh guru-guru SMKBBB di bawah pimpinan Pn Rosmini. Seterusnya ucapan dari Pn Hjh. Zubedah bt Hj. Mat Nor, Pengetua SMKBBB dan diikuti ucapan oleh Pn Nahuda. Pelajar-pelajar telah membuat persembahan yang menarik seperti nyanyian, teater, nasyid, dikir barat dan lakonan yang bertujuan menghiburkan para guru. Sambutan Hari Guru berakhir jam 12.30 tengah hari.
Setelah selesai acara Sambutan Hari Guru di sekolah, pada pukul 2.30 petang semua guru dan kakitangan sekolah telah mengahadiri jamuan makan (Hi-tea) di Café Lavista, Hotel Equatorial Bangi. Majlis berakhir pada jam 4.30 petang.





















SELAMAT DATANG
KE SMKBBB
Ibu Bapa mendaftarkan anak masing-masing.Selamat datang diucapkan kepada pelajar tingkatan 1 sesi 2007 yang telah mendaftar di SMK Bandar Baru Bangi pada 29 Disember 2006. Seramai 334 orang pelajar telah mendaftar pada hari tersebut bagi 10 kelas tingkatan 1. Pelajar yang ingin memasuki Kelas Aliran Agama (KAA), mereka dikehendaki menduduki ujian Bahasa Arab anjuran Panitia Bahasa Arab. Sambutan daripada pelajar tingkatan 1 amat menggalakkan, seramai 67 orang pelajar telah menduduki ujian tersebut.
Program Orientasi Pelajar Tingkatan 1 telah dijalankan pada 3 hingga 5 Januari 2007. Mereka turut mengikuti Program Maju Diri (PMD) yang dikendalikan oleh Unit Bimbingan & Kaunseling SMKBBB pada 10 hingga 11 Januari 2007. Semoga pelajar-pelajar tingkatan 1 yang kini merupakan warga SMKBBB akan menjadi warga yang berjaya, berakhlak dan berbakti kepada masyarakat, bangsa dan negara.

KEJOHANAN MERENTAS DESA 2007
PMR 2006 – KEPUTUSAN TETAP CEMERLANG
Tahniah! Seramai 41 orang pelajar SMKBBB telah mendapat keputusan ‘Straight A’ dalam peperiksaan PMR yang telah diumumkan pada 26 Disember 2006. Seramai 12 orang pelajar memperolehi 9A, 28 orang pelajar memperolehi 8A dan seorang pelajar 7A.
Kejayaan ini adalah hasil kesungguhan para pelajar dan usahasama serta dorongan ibu bapa dan guru-guru yang telah bertungkus lumus dalam membantu pelajar yang inginkan kejayaan. Pencapaian kelulusan adalah sebanyak ­­­80% merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan. Pn. Hjh. Zubedah bt. Hj. Mat Nor, telah mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaga demi menjamin kejayaan pelajar SMKBBB. Semoga kejayaan ini akan meningkat dan berterusan di tahun-tahun akan datang.


31 Januari 2007 (Rabu) bertempat di Padang SMKBBB telah berlangsung Kejohanan Merentas Desa mengikut kategori Lelaki & Perempuan A (Tingkatan 4 & 5) serta Lelaki & Perempuan B (Tingatan 1,2 dan 3). Acara dimulakan dengan taklimat merentas desa dan melakukan senamrobik. Pelajar Lelaki A memulakan kejohanan merentas desa, diikuti Lelaki B, Perempuan A dan Perempuan B. Acara diakhiri dengan upacara penyampaian hadiah di Dewan SMKBBB. Hadiah berupa sijil dan trofi disampaikan oleh Pn. Hjh. Kamariah bt. Abdul Rahman, Penolong Kanan Akademik dan Pn. Hjh. Zubedah bt. Hj. Mat Nor, Pengetua SMKBBB. Rumah Saga menjuarai kejohanan tersebut dengan 485 mata diikuti rumah Wira 408 mata, Satria 337 mata dan Perdana 331 mata.

Guru-guru menjaga garisan penamat mengikut kategori LA, PA, LB dan PB

































Menyemak nama pelajar untuk menentukan kelas.















Masih Ada Yang Sayang
Anjuran Unit Bimbingan & Kaunseling
Setiap insan di dunia ini perlukan perhatin dan kasih sayang. Sehubungan dengan itu, Unit Bimbingan & Kaunseling SMKBBB telah menganjurkan program ’Masih Ada Yang Sayang’ khas untuk pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 2. Program ini telah diadakan selama 2 hari iaitu pada 4 hingga 5 Mei 2006 bertempat di Dewan SMKBBB. Tujuan program ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada para pelajar bahawa di sekolah, tanpa mereka sedari, guru-guru sentiasa memberikan perhatian dan kasih sayang serta mengambil berat tentang masalah yang mereka hadapi. Penceramah jemputan ialah Ustaz Abu Hassan Al-Ash’ari (Perunding Motivasi Excel Q) dan Dr. Idris b. Kadir (Pensyarah German Malaysian Institute). Melalui program ini diharapkan pelajar-pelajar dapat merasakan betapa pentingnya kasih sayang yang diberikan oleh ibu bapa di rumah dan perhatian oleh guru di sekolah.

Wednesday, June 20, 2007